
Hari demi hari, harga barang semakin meningkat biarpun GST
telah pun pupus. Kenaikan harga barang ini telah menyebabkan ramai daripada
kita teragak-agak untuk berbelanja. Akhirnya, masalah itu telah diselesaikan
oleh Eco Shop yang menawarkan kesemua barang pada harga RM2.40. Bagi marhaen
seperti kita, itu adalah nikmat yang tidak terhingga kerana kita boleh
berbelanja sakan tanpa perlu risau dengan harga.
Namun pernah tak anda terfikir macam mana Eco Shop buat
untung? Sebagai peniaga, menjual barangan pada harga terlalu rendah seseolah
sedang meletakkan parang di leher. Hal ini kerana terdapat beberapa peniaga
yang cuba bermain harga dengan meletakkan RM3.00 untuk chicken chop dan RM1
untuk setiap lauk makan tengah hari. Pada mulanya, ramai pelanggan yang
berkunjung tapi lingkup juga sebab tidak balik modal.
Apa yang peliknya Eco Shop sudah bertahun-tahun menjual
barangan dengan harga sangat rendah tetapi masih lagi mampu bertahan. Jadi
macam mana Eco Shop buat untung atau mereka memang gemar lakukan amal jariah?
1. Manipulasi Harga
Kalau anda perasan sebenarnya tidak semua barangan di Eco
Shop dijual dengan harga sangat murah. Macam mana tu? Cuba anda bandingkan
harga beberapa barang di Eco Shop dengan Speedmart. Anda akan dapat melihat
terkadang harga sesetengah barang di Speedmart lebih murah berbanding Eco Shop.
Senang cerita, Eco Shop tawarkan banyak barang dengan harga yang rendah sambil letakkan
harga sama pada barang lebih murah untuk menyerap segala kos. Sebagai
pelanggan, anda tidak akan menyedari hakikat ini kerana sudah dikaburi dengan
propaganda bahawa barangan di Eco Shop terlajak murah.
2. Bungkusan Lebih Kecil
Kebanyakan barang berjenama di Eco Shop dijual dengan
bungkusan yang lebih kecil agar bersesuaian dengan harga. Sebagai contoh,
syampu berjenama Sunsilk biasanya berharga RM8 hingga RM12 untuk bungkusan 300
ml.
Di Eco Shop pula, mereka hanya menawarkan Sunsilk dengan
kapasiti 70 ml sahaja. Bagi sesetengah orang, harga RM2.40 untuk syampu
berjenama Sunsilk memang sangat murah. Maka pelanggan akan tetap beli tanpa
mereka menyedari bahawa harga yang murah itu telah dikaburkan dengan bungkusan
lebih.
3. Guna Jenama Sendiri
Mungkin ada yang kata, elok je Eco Shop jual barang dengan
kuantiti dan saiz yang lebih besar. Tapi anda perlu sedar, Eco Shop juga ada
membangunkan jenama sendiri dan anda boleh lihat kesemuanya di rak-rak yang
menawarkan makanan dan sabun. Kenapa Eco Shop sibuk nak bangunkan jenama
sendiri?
Jawapannya mudah sahaja iaitu untuk menyerap segala kos.
Bermakna, mereka hanya perlu mengambil barang daripada kilang secara pukal dan
bungkus semula menggunakan jenama sendiri. Kalau anda perasan, teknik ini juga
diguna pakai oleh pasar raya besar seperti Lotus dan Econsave.
4. Kenal Pelanggan
Sebelum nak jual apa-apa sekalipun, kita perlu kenal
pelanggan kita terlebih dahulu. Inilah yang dilakukan oleh Eco Shop apabila
hanya membuka cawangan di kawasan berpendapatan rendah dan sederhana. Hal ini
dapat dilihat melalui pembukaan Eco Shop di Pasir Gudang. Eco Shop tersebut
telah dibuka berhadapan dengan flat kos rendah.
Mereka tahu orang yang berpendapatan rendah dan sederhana
sangat sensitif dengan harga barang. Jadi jika Eco Shop dibuka di kawasan
tersebut, dalam masa yang singkat terus mendapat perhatian daripada pelanggan.
Mungkin inilah sebab mengapa sehingga ke hari ini, Eco Shop tidak pernah
membuka cawangan mereka di Bukit Jelutong dan Seksyen 13.